Iklan

Saturday, September 22, 2012

Teknik Bercakap di Khalayak Ramai 3


Tip #4
Jadi, dua tips sudah anda pelajari tentang cara bercakap dikhalayak ramai. Pertama, sedari cara anda berdiri semasa anda gementar dan kedua perhati dan tiru cara orang professional berucap.
Tips ketiga…….. mudah sahaja tips ini. Bayangkan semula semasa anda berucap di depan khalayak ramai. Jika anda atau sesiapa sahaja sedang berucap dalam keadaan berdebar dan gementar, tahukah satu perkara yang anda atau mereka lupa lakukan? Apa agaknya yang anda mungkin terlupa lakukan ya…..?
Percaya tak kalau saya kata anda lupa untuk BERNAFAS……….? Pelik tak bunyinya….?
Ini adalah benar. Kerana anda terlalu rasa berdebar, anda mungkin masih bernafas, tetapi anda tidak bernafas dengan normal. Anda bernafas dengan begitu laju macam anda baru berlari pecut seratus meter. Mungkin anda tidak sedar tentang perkara ini.
Oleh kerana anda bernafas dengan terlalu laju, ada dua perkara utama yang berlaku.
  • Pertama, percakapan anda menjadi laju. Bayangkan anda bercakap 100 patah perkataan dalam satu nafas, laju tak agaknya? Tentu laju bukan? Ini membuat percakapan anda tidak jelas. Penonton pula tidak akan faham apa yang anda katakan. Disebabkan itu, anda jadi semakin berdebar, lalu pernafasan anda semakin laju. Silap-silap, anda akan jatuh pengsan…….
  • Kedua, pernafasan yang laju adalah pernafasan yang pendek. Ini bermaksud, udara cuma berada dalam paru-paru anda sekejap sahaja sebelum ia dikeluarkan semula. Paru-paru anda tidak akan sempat untuk menyerap oksigen dengan baik, lalu anda akan kekurangan oksigen. Lebih teruk lagi, kekurangan oksigen ini akan mengurangkan keupayaan anda untuk berfikir dengan baik kerana otak anda kekurangan oksigen. Jadi, ucapan anda menjadi kelam kabut. Kemudian apa? Semakin teruk lagi perasaan gementar anda dan semakin teruk lagi ucapan yang anda berikan.
Jadi, latihan hari ini, berdiri depan cermin, cuba bernafas dengan laju. Bernafas macam anda baru dikejar hantu…   Cuba perasan apa rasanya… bolehkah anda berfikir dengan baik kalau dalam keadaan begini…..?



Tip #5
Setelah anda tahu bahawa cara anda bernafas akan mempengaruhi apa yang anda rasa, anda perlu belajar cara bernafas yang boleh membuat anda rasa lebih tenang. Secara mudahnya, anda akan merasa tenang jika anda menarik nafas panjang.
Cuba latihan ini, tarik nafas anda selama 7 saat perlahan-lahan….. kemudian, tahan nafas anda selama 7 saat….dan lepaskan nafas anda perlahan-lahan selama 7 saat juga…… di masa yang sama, kosongkan fikiran anda. Maksudnya, jangan fikir tentang apa-apa….. cuba beberapa kali.
Jika ini kali pertama anda mencuba cara ini, anda mungkin rasa pening sedikit. Tidak mengapa. Setelah anda amalkan, anda akan rasa segar dan bersemangat setiap kali anda lakukan latihan ini.
Jadi, setiap kali anda mahu bercakap dikhalayak ramai, mulakan dengan menarik nafas yang dalam dan panjang. Perhatikan juga cara anda bernafas semasa anda berucap. JIka anda rasa gugup semasa berucap, perbetulkan cara anda bernafas. Anda akan berucap dengan lebih baik. Perhatikan juga kelajuan anda bercakap. Jika anda bercakap terlalu laju, mungkin anda juga sedang bernafas dengan laju. Jadi, perlahankan. Kawal semula pernafasan anda dan tingkatkan rasa keyakinan diri anda semasa berucap.

Tip #6
Tips yang seterusnya ialah, keluarkan suara anda ketika anda sedang bercakap dikhalayak ramai. 
Hmmm… pelik tak agaknya bunyi tips ni. Kalau tak keluarkan suara, takkan boleh bercakap di depan khalayak ramai kan?
 Sebenarnya, jika anda rasa berdebar dan gementar sewaktu berada di khalayak ramai, anda mungkin tidak akan mengeluarkan suara anda dengan betul. Maksudnya, anda akan bercakap dengan suara yang perlahan. Ini disebabkan anda merasa kurang yakin dengan diri anda dan anda risau jika anda membuat kesilapan semasa anda sedang bercakap. 
Jika anda bercakap dengan suara yang perlahan, ada dua perkara yang akan berlaku. 
  1. Orang ramai tidak akan dapat mendengar dengan jelas apa yang anda katakan. Lama-kelamaan, mereka akan jadi bosan lalu tidak memberikan perhatian kepada anda. Apabila anda melihat reaksi bosan mereka, anda jadi semakin berdebar, lalu percakapan anda sama ada semakin laju atau suara anda akan jadi semakin perlahan. Anda tidak mahu ini berlaku. 
  1. Jika anda keluarkan suara dengan perlahan, orang ramai akan mudah dapat mengesan bahawa anda sedang merasa gementar. Ini kerana, suara yang keluar dengan perlahan akan membuat getaran suara anda (yang disebabkan oleh rasa berdebar) mudah didengar orang ramai. Anda akan bercakap seperti orang sedang menggeletar. 
Jadi, anda perlu benar-benar keluarkan suara anda ketika anda berada di khalayak ramai. Suara yang keluar dengan lantang akan berbunyi tegas dan penuh keyakinan. 
Namun, mengeluarkan suara ini tidak bermaksud saya menyuruh anda menjerit bila bercakap di khalayak ramai. Ada bezanya bercakap dengan suara yang kuat atau menjerit. Kita bincangkan tentang perkara ini esok. 


Tip #7
Satu tips yang anda telah pelajari, anda perlu keluarkan suara anda atau anda perlu kuatkan sedikit suara semasa anda berucap. Suara yang lebih kuat akan mengurangkan debaran anda dan juga boleh kedengaran seperti suara yang lebih tegas.
Cuma ada bezanya suara yang kuat dan menjerit. Saya tidak suruh anda menjerit kerana bunyinya menyakitkan dan anda akan hilang suara anda dengan cepat. Untuk bezakan kuatkan suara atau menjerit, lihat contoh dibawah.
Bayangkan anda berada di dalam satu dewan kecil yang mengadakan majlis makan-makan. Anda berada di pintu masuk dan kawan baik anda ada di hujung bilik tersebut. Diantara anda dan kawan anda (ditengah-tengah dewan itu) ada ramai orang yang berbual-bual, berjalan, makan dan membuat bising. Bilik itu agak bising dengan bunyi suara orang ramai dan bunyi pinggan mangkuk yang berlaga sesama sendiri.
Dalam suasana bising itu, anda mahu beritahu sesuatu kepada kawan baik anda tanpa anda pergi kepadanya. Maksudnya, anda perlu bercakap dari tempat anda berdiri sekarang. Anda perlu bercakap dengan kuat bukan? Cuba bercakap dengan kuat sambil membayangkan situasi tadi.
Ingat…. jangan menjerit…. kuatkan suara tetapi jangan menjerit… (tentu anda boleh bayangkan bagaimana rupa orang menjerit bukan…)
Selamat mencuba.


Tip #8
Tips hari ini saya nak suruh anda buat sesuatu yang pelik sedikit. Saya mahu anda cari sebatang pokok (yang hidup atau mati, yang besar atau kecil.)
Berdiri mengadap pokok tersebut…. dan…. cuba bercakap dengan pokok tersebut……
Cuba bercakap dengan nada yang menarik, naik dan turun….. cuba buat memek muka yang menarik…. adakah anda rasa malu jika anda lakukan perkara tersebut.
(Tips: jangan lakukan perkara ini apabila ada orang disekeliling anda. Nanti orang ingat anda gila…   )
Setelah anda cuba bercakap dengan pokok tersebut dengan cara terbaik anda, apa yang anda rasa….? Cuba perkara ini dan kita sambung perbincangan ini esok.
Selamat mencuba.






No comments:

Post a Comment