Sunday, August 18, 2013

Puasa Enam Bulan Syawal

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Dalam usaha menambah pahala dan meningkatkan amalan berterusan selepas Ramadhan, digalakkan bersegera melaksanakan puasa enam hari selepas Aidilfitri, yang dikenali sebagai ‘Puasa Enam’.
Ibadat puasa perlu dilakukan sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh untuktaqarrub kepada Allah SWT, demi menundukkan hawa nafsu dan membersihkan diri.
Sabda Rasulullah SAW.: “Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruk-nya), melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu untuk-Ku (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendiri akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa.”   (Riwayat Imam Bukhari)
.
.
FADILAT PUASA ENAM
Ibadat puasa enam mempunyai pelbagai ganjaran dan kelebihan yang boleh diperolehi umat Islam jika mereka merebut peluang melaksanakannya.
Daripada Abu Ayub al-Ansari, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka puasanya itu seperti puasa sepanjang masa.” – (Riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa semata-mata mencari keredhaan Allah SWT., nescaya akan Allah menjauhkannya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun.”   (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
.
Di antara manfaat lain Puasa Enam Syawal adalah:
  1. Sebagai penampal terhadap segala kekurangan amalan puasa di bulan Ramadhan.
  2. Semua amalan mendekatkan diri kepada Allah SWT. pada Ramadhan, tidak akan terputus dengan berlalunya bulan mulia itu, selama dia masih hidup.
  3. Mudah berpuasa selepas Ramadhan menandakan diterimanya puasa Ramadhan kerana melakukan kebaikan kemudian diteruskan dengan kebaikan lain, maka ianya sebagai tanda terkabulnya amal pertama.
  4. Allah SWT menjauhkan orang yang berpuasa enam daripada api neraka dengan jaraktujuh puluh tahun.
  5. Puasa selepas Aidilfitri adalah antara tanda kesyukuran atas nikmat pertolongan dan keampunan yang dianugerahkan Allah ketika Ramadhan.
.
PAHALA SETAHUN PUASA
Pahala puasa Ramadhan yang diamalkan menyamai pahala puasa satu tahun penuh. Ini kerana setiap hasanah (kebaikan) diberi ganjaran 10 kali ganda.
Imam Ahmad dan An-Nasa’i, meriwayatkan daripada Tsauban, Rasulullah SAW. bersabda:Puasa sebulan di bulan Ramadhan sama seperti ia berpuasa selama 10 bulan dan berpuasa selama 6 hari selepasnya (Syawal) menyamai puasa 2 bulan.  Maka yang demikian bererti (kamu) telah berpuasa untuk setahun.”  - (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)
Manakala di dalam kitab Sabila al-Muhtadin pula, dinyatakan; puasa 30 hari pada bulan Ramadhan ganjarannya sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari pada bulan Syawal pula ganjarannya sama dengan 60 hari.
Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari, bersamaan dengan setahun (kalendar Qamari). Maka seolah-olah kita telah berpuasa sepanjang tahun hingga Ramadhaan tahun depan.
 .
CARA PUASA ENAM
Puasa sunat enam itu boleh dilakukan pada mana-mana hari, di sepanjang bulan Syawal sama ada secara berterusan atau berselang-seli:
1.  Paling afdal ialah puasa enam hari berturut-turut mulai Aidilfitri kedua (2 Syawal) hingga 7 Syawal.
2.  Berpuasa secara berselang-seli, iaitu puasa sama ada selang sehari, dua atau tiga hari sekali, sebanyak enam hari dalam bulan Syawal, mengikut kemampuan masing-masing.
.
Lafaz niat puasa enam;
.
.
HIKMAH PUASA ENAM
Hikmah atau rahsia puasa enam hari pada Syawal adalah:
  1. Mendidik kesabaran insan daripada godaan makanan yang melimpah ruah menerusi rumah terbuka.
  2. Memberi kesempatan kepada tubuh untuk menyesuaikan diri sesudah dilatih sebulan penuh menahan lapar dan dahaga.
  3. Allah SWT sebenarnya ingin menguji hamba-Nya apakah sanggup meneruskan puasa selepas sebulan Ramadhan walaupun hanya enam hari.
  4. Penyempurna daripada kekurangan. Pada hari kiamat, perbuatan fardu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan perbuatan sunnah.
  5. Memberi peluang kepada wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadhan, menggantikan puasanya di samping mendapat pahala puasa sunat.
  6. Mengelakkan budaya suka melewat-lewatkan qada puasa sehingga hampir Ramadan berikutnya.
  7. Segera kembali melaksanakan puasa selepas Aidilfitri dengan rasa ringan dan gembira, adalah bukti kecintaannya terhadap ibadah puasa.
  8. Berpuasa selepas Ramadhan bagaikan orang yang cepat-cepat kembali daripada pelariannya, yakni orang yang baru lari daripada peperangan fisabilillah lantas kembali lagi.
.
.
QADA’ DAN PAHALA SUNAT
Seseorang yang ingin melakukan puasa qada’ dan puasa enam dalam bulan Syawal, para ulama mempunyai beberapa pandangan di antaranya;
1. Berniat puasa qada’ Ramadhan dan sunat Syawal, akan perolehi dua ganjaran, dengan syarat mendahulukan niat puasa qada’ kerana puasa qada’ adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.
2. Berpuasa qada’ sekalipun tanpa berniat menggabungkannya, ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi, namun pahalanya kurang daripada orang yang berniat kedua-duanya.
3.  Berpuasa qada’ wajib atau sunat pada bulan Syawal akan tetap dapat pahala puasa enam, sekalipun ia tidak berniat dan tidak mengetahui tentang puasa enam. Ini kerana ia telah mencapai maksud hadis Rasulullah SAW. agar berpuasa pada bulan Syawal.
4.  Sesetengah ulama menjelaskan bahawa pahala puasa sunat enam diperolehi juga dengan niat puasa qada’ atau puasa nazar. Maka sesiapa yang uzur atau tertinggal puasa Ramadhan, lalu digantikan pada Syawal, maka pahala sunat puasa Syawal turut diperolehnya.
.
Namun, kebanyakan ulama berpendapat bahawa, sekalipun pahala puasa enam bersama puasa qada’ akan dinilai bersama-sama puasa yang satu, seseorang yang melakukan kedua-duanya secara berasingan tetap akan mendapat kelebihan yang lebih banyak di sisi Allah SWT.
Menurut pendapat ulama dalam kitab Sabila al-Muhtadin, sekiranya masa tidak mencukupi untuk berpuasa enam dalam bulan Syawal kerana mengqada puasa Ramadhan, maka dia boleh mengqadanya dalam bulan Zulkaedah.


Cara Puasa Sunat Enam Hari Di Bulan Syawal

Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan kebaikan dan kebajikan secara berterusan, walaupun sedikit. Bersempena dengan bulan Syawal yang mulia, marilah kita melaksanakan‘Puasa Enam’ iaitu puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang besar keutamaannya dan amat digalakkan oleh Islam. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, Allah سبحانه وتعالى berfirman (dalam hadis Qudsi):

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ. رواه مسلم.

“Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Daku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).”




Ganjaran Pahala Setahun

.
Orang yang berpuasa Ramadhan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun.
Abu Ayyub Al-Ansari radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah ﷺ bersabda:
 مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ. رواه مسلم.
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” 
(Riwayat Muslim, hadis no: 1164).
.
Di dalam hadis ini Nabi Muhammad ﷺ menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diberi ganjaran pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Hal ini disebabkan puasa sunat satu hari, pahalanya bersamaan dengan sepuluh hari. Manakala puasa Ramadhan pahalanya bersamaan dengan sepuluh bulan, maka enam hari puasa sunat bersamaan dengan dua bulan, kemudian dicampurkan dengan sepuluh bulan jumlahnya menjadi setahun.
Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan menyatakan bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diberi ganjaran sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى Maha Berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.




Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?

.
Seseorang yang hendak berpuasa sunat di bulan Syawal adalah lebih afdhal berturutan seperti puasa bulan Ramadhan tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal itu.
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairahradhiallahu ‘anhu berkata:
 أَنَّ رَسُولَ اللهِ  نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ . رواه مسلم.
“Rasulullah  melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha.”
(Sahih Al-Bukhari no: 1991).
.
Syarat-syarat dan segala adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.



Cara Melaksanakan Puasa Enam

Takwim Syawal 1434
Takwim Syawal 1434


Adalah menjadi amalan sunat mengerjakan puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Ia boleh dilakukan mulai 2 Syawal hingga 7 Syawal secara berterusan, berselang-seli atau pada mana-mana 6 hari dalam bulan tersebut. Sebagai contoh, mari kita lihat pada kalendar di atas (Ogos-September 2013).
.
1.  Paling afdal ialah puasa enam hari berturut-turut mulai 2 Syawal (Hari Raya Aidil Fitri kedua) hingga 7 Syawal.
Berdasarkan kalendar di atas, jika Hari Raya Aidil Fitri jatuh pada 8. Ogos, maka bolehlah berpuasa enam mulai 9 Ogos sehingga 14 Ogos (7 Syawal).
2.  Berpuasa secara berselang-seli, iaitu puasa sama ada selang sehari, selang dua atau tiga hari sekali, sebanyak enam hari dalam bulan Syawal, mengikut kemampuan masing-masing.
Jika antum berpuasa secara berselang hari:
a)   Selang Sehari ~ Sekiranya puasa enam dimulakan pada hari Isnin, ianya akan berakhir pada hari Khamis minggu berikutnya. Contohnya pada kotak hijau di atas, jika antum berpuasa mulai 12 dan ianya akan berakhir pada 22 Ogos.
b)   Selang Dua hari ~ Seperti pada petak kuning, sekiranya mula berpuasa pada hari Isnin 12 Ogos, selang dua hari berikutnya adalah pada 15, 18, 21, 24 dan berakhir pada 27 Ogos.
c)   Selang Tiga hari ~ Contohnya jika mulai berpuasa pada 9 Ogos, selang tiga hari berikutnya adalah pada 13, 17, 21, 25 dan akan berakhir pada 29 Ogos.
3.  Berpuasa sebanyak enam hari pada awal, tengah dan akhir bulan Syawal. Sebagai contoh di petak biru, berpuasa sehari pada 2 Syawal (9 Ogos), diikuti tengahnya pada ‘Hari Putih’iaitu 13,14 dan 15 Syawal (20, 21, 22 Ogos).dan berakhir pada 29 dan 30 Syawal (5 dan 6 September).
4. Puasa sunat Syawal juga boleh dilakukan sebanyak 6 hari pada mana-mana tarikh di sepanjang bulan Syawal. Pilihlah 6 hari bermula dari 2 Syawal sehingga 30 Syawal (petak tarikh berwarna kuning).

Puasa secara berturut-turut atau secara terputus?

.
Pandangan di kalangan para ulama’ yang lebih disepakati adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah ﷺ menganjurkan puasa sunat enam hari ini, Baginda ﷺ hanya menyebut bulan Syawal secara umum, tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal, asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan selepas berakhir bulan Syawal.
Namun begitu adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan firman Allah سبحانه وتعالى:

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ  . آل عمران: 133

“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah Al-Imran: Ayat 133)
.
Sebagaimana yang sedia maklum, semua amalan sunat adalah sebagai penampung dan penambah kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Seharusnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal. Selain mendapat pahala puasa setahun, kita juga dapat memperbaiki segala kekurangan dalam ibadat puasa di sepanjang Ramadhan.