Saturday, July 21, 2012

KHASIAT AIR ZAMZAM 2


 
KHASIAT AIR ZAMZAM  DIGUNA SEMASA MEMBASUH HATI NABI MUHAMMAD (S.A.W.)
 
Sesungguhnya Allah (SWT) telah mengkhususkan air zamzam untuk membasuh sesuatu yang sangat mulia iaitu, hati Nabi Muhammad (s.a.w.).  Hati yang mulia itu tidak akan dibasuh melainkan dengan air zamzam.  Air yang paling suci dan mulia.  Imam Muslim meriwayatkan dari Anas ibnu Malik (r.a.): "Bahawa Muhammad (s.a.w.) ketika masih kecil didatangi oleh Malaikat Jibril (a.s.), sewaktu Baginda bermain-main bersama kanak-kanak yang sebaya dengan Baginda. Malaikat Jibril (a.s.) segera mendakap Baginda untuk membedah dada Baginda. Lalu hati Nabi Muhammad (s.a.w.) dikeluarkan bersama gumpalan darah yang menyelimuti hati Baginda. Malaikat Jibril berkata:" Ini adalah bahagian yang dikuasai syaitan.".  Kemudian hati tersebut dibasuh di atas mangkuk, bekas yang diperbuat daripada emas, dengan air zamzam.  Setelah selesai, hati Baginda dicantum semula ke tempatnya. Rakan-rakan Baginda waktu itu, berlari-larian menuju kepada ibu mereka yang juga adalah sebagai ibu angkat Nabi Muhammad (s.a.w.).  Mereka mengadukan halnya bahawa Baginda (s.a.w.) telah pun dibunuh.  Mereka bergega segera datang dan mendapati yang Baginda (s.a.w.) kelihatan berwajah pucat."  Anas (r.a.) berkata "Saya pernah menyaksikan kesan jahitan di dada Baginda, ekoran peristiwa itu."

Dalam riwayat yang disampaikan Imam Bukhari disebutkan, "Diriwayatkan dari Anas ibnu Malik (r.a.), berkata: "Abu Zar (r,a.) pernah menyampaikan sebuah berita bahawa Rasulullah (s .a.w.) bersabda "Pernah suatu ketika bumbung rumahku terbuka sewaktu aku masih di Makkah.  ketika itu turunlah malaikat Jibril (a.s.).  Ia kemudian membedah dadaku dan mernbasuhnya dengan air zamzam. Selepas ia datang membawa mangkuk yang terbuat daripada emas, yang dipenuhi dengan hikmah dan keimanan. Isi mangkuk itu kemudian dimasukkan ke dalam dadaku dan segera ditutupnya.  Kemudian ia memimpin tanganku dan kami naik ke langit dunia."

Hati Nabi Muhammad (s.a.w.) pernah dibedah empat kali.  Pertama, sewaktu Baginda berumur tujuh tahun dan tinggal bersama ibu angkat yang menyusukannya iaitu Halimah Sa'diah, seperti yang telah dikemukakan dalam hadis sebelumnya. Kedua, sewaktu berusia sepuluh tahun.  Ketiga, sewaktu malaikat Jibril (a.s.) datang untuk menyampaikan wahyu sebagai petanda diangkat sebagai Nabi.Keempat, pada Malam Israk, seperti telah dikemukakan sebelumnya. Kesemua itu menunjukkan betapa agungnya hikmah yang terkandung dalam penciptaan air zamzam.  Peristiwa di atas juga menunjukkan penghormatan kepada Nabi Muhammad (s.a.w), bagi menambahkan kekuatan dan persediaan masa hadapan, serta isi hati Baginda. Keadaan ini bertujuan agar Baginda mampu menerima wahyu dan mempersiapkan diri berhadapan dengan Allah (SWT) dan berdialog dengan-Nya. Oleh sebab itulah hati Nabi Muhammad (s.a.w.) adalah merupakan hati yang paling suci dan baik, paling kuat dan lapang serta paling takwa dan bersih.
 
DIGUNA SEMASA MEMBASUH HATI NABI MUHAMMAD (S.A.W.)  KHASIAT AIR ZAMZAM

No comments:

Post a Comment