Thursday, January 17, 2013

Peranan Sayur-Sayuran dan Buah-Buahan Untuk Kesihatan Manusia




Sayur-sayuran dan buah-buahan memang telah lama diketahui dari segi khasiatnya kerana kandungan nutrisi seperti vitamin, mineral, lemak, protein dan karbohidrat. Pengamal sayur-sayuran dan buah-buahan telah dikenalpasti hidup lebih sihat berbanding mereka yang makan jenis makanan yang lain. Kebanyakan negara maju seperti Britain, Amerika Syarikat dan Jepun menjadikan sayur-sayuran dan buah-buahan sebagai menu utama mereka. Ini kerana mereka telah mengenalpasti bahawa dengan mengamalkan makan makanan seperti ini dapat meningkatkan kualiti hidup.

Para penyelidik juga telah menyedari sebahagian daripada sayur-sayuran dan buah-buahan ini mengandungi komponen yang boleh membantu menangani masalah kesihatan serta menyediakan hidup yang lebih sihat. Kajian yang secara mendalam oleh pakar-pakar sains telah membuktikan kandungan dalam sayur-sayuran dan buah-buahan ini telah berjaya mengatasi masalah seperti kanser, penyakit hati, kencing manis serta darah tinggi di mana keempat-empat penyakit ini merupakan penyakit yang telah dikenalpasti yang mencatatkan kematian yang paling tinggi.

Secara amnya, setiap sayur-sayuran dan buah-buahan ini mengandungi pelbagai kandungan yang boleh memujarabkan pelbagai jenis penyakit. Malah pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan ini dapat mengurangkan pengambilan ubat sintetik yang mempunyai kesan sampingan.

Walau bagaimanapun, ramai di kalangan kita masih kurang mengetahui khasiat yang diperolehi akibat pengamalan sayur-sayuran dan buah-buahan ini, kerana kurangnya pendedahan yang diberikan. Di sini terdapat beberapa jenis sayur-sayuran dan buah-buahan yang telah dikenalpasti mempunyai khasiat dari segi perubatan.


Buah Kelo

Ramai yang menggemari buah kelo kerana rasanya yang enak. Tetapi ramai yang kurang mengetahui yang buah ini mempunyai khasiat dari segi kesihatan dan perubatan. Nama saintifiknya adalah Moringa Oleifera dan buah ini amat baik untuk jantung, saraf dan peredaran darah. Buah kelo amat berkesan untuk meredakan demam panas.

Air perahan daun kelo bukan sahaja kaya dengan vitamin A, vitamin C dan kalsium, malah juga mengandungi asid amino yang bersifat antibakteria yang membantu menambahkan darah dan menentang pelbagai jenis penyakit. Jus buah kelo digunakan untuk tujuan melawaskan kencing serta membantu menghilangkan rasa kembung dan senak akibat ketidakcernaan.


Daun Salad

Daun salad bukan sahaja digunakan untuk menghiaskan makanan, malah juga enak dimakan begitu sahaja. Peranan daun salad bukan sahaja berhenti begitu sahaja kerana daun ini juga mempunyai kepentingan dari segi perubatan. Daun salad atau nama sainsnya Lactuca Sativa, merupakan penawar kepada masalah insomnia atau gangguan tidur. Tumbuhan ini kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C, magnesium dan zink serta mengandungi sejenis kompaun yang dikenali sebagai lactucarium yang bertindak sebagai sedatif.

Daun salad ini juga bertindak menenangkan dan melapangkan fikiran, sekaligus menghilangkan segala keresahan yang melanda. Daun ini juga mengandungi karotin, serat dan air yang dapat menghilangkan rasa dahaga dan juga bertindak melancarkan sistem pernafasan.


Kobis

Brassica Oleracea merupakan nama sains bagi bunga kobis dan sayur ini berasal dari keluarga Brassica. Sayur ini mengandungi belerang, iaitu sejenis zat galian yang penting untuk kesihatan. Kobis bukan sahaja berkesan untuk mengubati penyakit ulser dan barah malah juga berkesan untuk mengubati masalah-masalah lain di usus.

Kobis yang kaya dengan kalsium, fosforus, zat besi, sodium, potasium dan vitamin A, B-Kompleks dan C dapat meredakan masalah di bahagian perut dan hati seperti yang dialami oleh mereka yang lali arak. Kompaun belerang dalam kubis dapat menghindarkan pengeluaran carcinogen, sejenis bahan kimia berbahaya dalam tubuh badan. Amalan memakan kobis dapat menghalang carcinogen daripada bergabung menjadi sel-sel darah. Selain itu asid amino yang mengandungi belerang dalam kubis juga bertindak menurunkan paras kolesterol, meredakan saraf dan menenangkan fikiran dan sekaligus membantu seseorang itu tidur dengan selesa pada waktu malam.


Timun

Di sesetengah tempat, timun juga dikenali sebagai mentimun atau nama saintifiknya ialah Cucumis Sativus. Ia mengandungi 0.65% protein, 0.1% lemak dan karbohidrat sebanyak 2.2%. Selain itu timun juga mengandungi kalsium, zat besi, magnesium, fosforus, vitamin A, vitamin B1, vitamin B2 dan vitamin C.

Biji timun mengandungi racun alkoloid jenis hipoxanti, yang berkesan untuk merawat kanak-kanak yang kecacingan. Bagi mereka yang menghidapi sakit tekak apabila diserang batuk, penyakit ini dapat dirawat dengan biji timun di mana sedikit biji timun dicampurkan dengan sedikit garam dan dikumuh beberapa kali sehari. Pengamalan ini dapat mengembalikan suara yang hilang.

Selain itu, penyakit sampu pucat iaitu sejenis penyakit pening-pening yang berterusan sehingga dapat menurunkan berat badan dapat diatasi dengan pengamalan makan timun mentah atau yang telah dimasak. Timun juga dapat mengubati penyakit disesteri iaitu keluar darah semasa membuang air besar.


Kucai

Kucai adalah sejenis sayuran yang menyerupai pokok bawang yang berasal dari keluarga Lili. Tumbuhan ini tengik baunya tetapi enak dimakan samada sebagai sayur atau ulam.

Kucai mengandungi vitamin B dan C, karotin dan komponen belerang. Ia dapat mengubati penyakit-penyakit seperti senggugut, penyakit keputihan, darah tinggi dan sembelit.

Kucai bertindak sebagai antiseptik untuk membunuh kuman bakteria dalam usus dan menjadi perangsang dalam proses pengecutan serta pengembangan usus. Ia juga melancarkan pengaliran darah, sekaligus menghindarkan pembekuan darah. Cara penggunaannya adalah menumbuk daun kucai sehingga lumat dan kemudian dikacau dengan air panas lalu diminum. Penggunaannya adalah lebih mujarab sekiranya diminum setiap pagi.

1 comment: